Pahang bina 191 menara telekomunikasi tahun depan

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata selain menara baharu kerajaan negeri juga merancang menaik taraf kelajuan internet kepada 5G secara berperingkat. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Sebanyak 191 menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh Pahang tahun depan bagi menambah baik liputan dan capaian internet, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan mereka juga menikmati kemudahan itu yang semakin mendesak sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kita tidak ada pilihan selain menambah baik liputan dan capaian internet kerana ia sudah menjadi norma baharu. Aspek pembelajaran dan kerja juga banyak dilakukan di rumah bagi membendung penularan Covid-19.

“Selain menara baharu, kita juga merancang menaik taraf kelajuan internet kepada 5G secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan insentif pembelajaran kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diadakan secara dalam talian di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Mengulas mengenai insentif itu, Wan Rosdy berkata seramai 19,254 calon SPM di Pahang menerima sumbangan RM50 seorang, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM962,700 bagi membantu mereka membuat persediaan.

Penerima sumbangan yang mula disalurkan tahun ini terdiri daripada pelajar sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah agama rakyat negeri, sekolah menengah agama rakyat dan maahad tahfiz.