PAWS berhasrat kumpul RM3.5 juta dana, bina pusat pelindungan haiwan bertingkat

Pusat pelindungan haiwan baru PAWS berupaya menempatkan lebih banyak haiwan. (Gambar Cecilia Cletus)

Subang: Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS (PAWS) berhasrat untuk mengumpul dana berjumlah RM3.5 juta bagi menaik taraf pusat pelindungan haiwan bertingkat mesra alam pertama Malaysia di Ara Damansara.

Pengurus Paws, Edward Lim memberitahu FMT, plot tanah yang menempatkan lokasi mereka sekarang sudah digazetkan oleh kerajaan sebagai tanah rezab jalan.

Memandangkan lokasi itu akan dibangunkan tidak lama lagi, kerajaan bermurah hati memberikan pusat pelindungan itu plot tanah lain di Ara Damansara untuk membina kemudahan baru.

Ketika ini terdapat 500 haiwan ditempatkan di PAWS. (Gambar Cecilia Cletus)

Lim menjelaskan bahawa tapak baru itu terdiri daripada dua plot tanah yang akan menempatkan dua kemudahan berbeza untuk haiwan dilindungi mereka.

“Pusat pelindungan utama akan dibina di atas plot tanah lebih besar manakala plot kecil itu akan digunakan sebagai stesen kuarantin serta pusat kurungan haiwan untuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Katanya, pusat pelindungan haiwan ketika ini terlalu kecil untuk menempatkan semua haiwan yang sama ada diselamatkan oleh pihak berkuasa atau diserahkan oleh orang awam.

Pengurus pusat pelindungan haiwan PAWS, Edward Lim. (Gambar Cecilia Cletus)

“Ketika ini kita menempatkan sebanyak 500 haiwan terdiri daripada anjing dan kucing. Plot tanah baru ini dapat memberi kemudahan kepada lebih banyak haiwan.

“Kami berharap dengan pembinaan kemudahan baru nanti, ia boleh memberi khidmat lebih baik lagi kepada orang ramai,” katanya.

Menurut Edward, pusat pelindungan haiwan baru itu akan dibina setinggi tiga tingkat manakala pusat kuarantin pula akan dibina sebagai bangunan dua tingkat.

Pusat pelindungan baru PAWS akan menjadi kemudahan bertingkat dilengkapi panel solar dan saluran air hujan. (Lakaran artis)

“Saya percaya ia akan menjadi pusat pelindungan haiwan bertingkat pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan panel solar dan saluran air hujan bagi memastikannya lebih mampan dan mesra alam,” katanya.

Selain itu, Lim berkata, mereka berharap untuk mengadakan upacara pecah tanah di tapak baru pusat pelindungan haiwan itu menjelang akhir tahun ini dan projek terbabit dijangka siap dalam tempoh dua tahun setengah.

“Kami akan berpindah ke tapak baru dalam tempoh empat ke enam minggu tetapi ia akan menjadi pusat pelindungan sementara,” katanya.

Pusat pelindungan haiwan itu berharap dapat mengumpul RM3.5 juta menjelang akhir tahun ini. (Gambar Cecilia Cletus)

Sebagai usaha mengumpul dana, orang ramai boleh menaja tanah seluas satu kaki persegi dengan derma minimum sebanyak RM100.

Setiap derma bernilai RM100 ke atas akan diberikan bersama sijil termasuk koordinat GPS yang unik kepada setiap penderma bagi membolehkan mereka melawat tanah tajaan itu menerusi Google Earth.

Lim turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, Adun Kinrara, Ng Sze, bekas datuk bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar, Jabatan Perkhidmatan Verterinar Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor kerana membantu mereka mendapatkan tapak baru untuk PAWS.

Sumbangan boleh dibuat kepada:

Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS
Nombor Akaun UOB: 232-300-219-5
Kod SWIFT: UOVBMYKLXXX

Anda boleh menghantar ‘screenshot’ sebagai bukti derma kepada pawshelter@gmail.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com