
KUALA LUMPUR: Malaysia menambah satu lagi slot ke Olimpik Tokyo menerusi Nur Dhabitah Sabri yang berjaya meraih emas pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 dalam acara 3m papan anjal individu wanita hari ini.
Sementara itu, gandingan Muhd Syafiq Puteh dan Dhabitah menghadiahkan pingat emas terakhir negara dalam acara 3m papan anjal seirama campuran.
Syafiq-Dhabitah mencatatkan 286.56 mata, mengalahkan pasangan Indonesia, Andriyan Andriyan-Maria Natalie dengan kutipan 226.62 mata untuk pingat perak.
Gandingan Macau, Tang Hio Fong-Choi Sut Kuan yang mengutip 182.25 mata pula menang gangsa.
Dua penerjun negara iaitu Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin gagal meraih kedudukan podium bagi acara 10m platform individu lelaki, selepas masing-masing sekadar berada di tangga ke-4 dan ke-5.
Dalam acara itu, penerjun Singapura, Jonathan Chan meraih pingat emas dengan kutipan 407.90 mata, mengejutkan penerjun China, Wang Zewei yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 393.45 mata.
Penerjun Korea Utara, Ri Kwon Chok pula meraih gangsa dengan jumlah mata 347.25.
Piala Asia yang disertai 11 negara melabuhkan tirainya hari ini, dengan Malaysia berada di tangga teratas dengan kutipan 6 pingat emas, 5 perak dan 2 gangsa.
China yang hanya menghantar 3 penerjun meraih 3 emas, manakala Korea Utara, Singapura dan Jepun masing-masing mengutip 1 emas.