Apabila kerajaan Pakatan Harapan mula mentadbir negara, antara perhatiannya adalah menyusun semula kewangan negara. Antara asasnya ialah pembersihan dalam menguruskan kewangan negara supaya dapat mengelak penyelewengan, ketirisan dan pembaziran. Bukan saja hendak menjimatkan wang negara tetapi lebih tinggi lagi melakukan urus tadbir baik. Ia juga selaras dengan Manifesto PH.
Seperti menguruskan syarikat, apa yang perlu dilakukan ialah konsolidasi terhadap pentadbiran kerajaan, apa yang perlu dilakukan adalah menutup agensi yang tidak perlu, serta menggabungkan badan yang peranannya bertindan.
Maka arahan dikeluarkan kepada semua kementerian supaya mengkaji semua badan di bawahnya dan membuat perakuan yang mana patut ditutup atau digabungkan.
Oleh kerana penulis lebih hampir dengan agensi perbukuan dan komunikasi massa, maka desas-desus mengenai agensi yang berkaitan dengan industri ini diketahui dahulu.
Antara cadangan yang kedengaran ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Kota Buku hendak digabungkan kerana peranan mereka bertindan. Begitu juga ada desas-desus Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan digabungkan.
Tetapi semua desas-desus itu tidak berlaku kerana tentunya ia menerima bantahan bukan saja daripada kakitangan yang mungkin kehilangan jawatan tetapi juga ia pasti dijadikan isu politik oleh pihak pembangkang.
Apatah lagi jika badan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) hendak digabung atau dibahagi-bahagikan, pasti ia menjadi isu politik yang besar. Begitu juga jika ada cadangan untuk menggabungkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) beserta Radio Ikim ke dalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan TV Hijrah.
Maka polisi konsolidasi bukan saja sukar tetapi dalam banyak keadaan tidak dapat dilaksanakan kerana realiti politiknya yang tidak termampu untuk kerajaan melawannya.
Konsolidasi di Kementerian Pendidikan adalah lagi penting dan lebih kompleks, terutama pengajian tinggi. Perkembangan universiti di negara ini berkembang pesat, daripada Universiti Malaya Kuala Lumpur hingga berkembang dengan memiliki lima universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
Perkembangan selanjutnya begitu pesat hinggakan banyak pihak menimbulkan isu mengenai mutu lulusannya. Bukan saja universiti swasta bercambah dengan banyak tetapi institut pengajian tinggi awam bertaraf kolej universiti ditubuhkan.
Institut Teknologi Mara (ITM) menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM). Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) ditubuhkan dan beberapa tahun kemudian Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) dinaikkan taraf menjadi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Taruc).
Setiap negeri kemudiannya mempunyai universiti. Sementara kolej-kolej universiti awam juga dinaikkan taraf. Maka Terengganu pun mempunyai dua universiti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa).
Maka baru-baru ini Kementerian Pendidikan memutuskan supaya UMT dan UniSZa digabungkan kerana tentunya berhubung dengan proses konsolidasi sumber. Pastinya kenyataan kementerian itu menerima bantahan terutama dari tenaga pengajar. Bagi mereka yang terlibat, penggabungan tempat mereka bekerja tidak dapat diterima. Sementara bagi pihak luar, penggabungan itu sesuatu yang rasional. sementara pihak yang melihat dari sudut politik akan menimbangkannya mengikut kepentingan mereka.
Penggabungan universiti mempunyai sensitivitinya tersendiri tetapi ia lumrah berlaku di seluruh dunia. Umpamanya di Singapura, kerajaannya menggabungkan Universiti Singapura dan Universiti Nanyang untuk menjadikan Universiti Nasional Singapura.
Bukan saja penggabungan universiti menghadapi masalah. Untuk menyatukan kampus pun menerima bantahan. Contohnya apabila Universiti Tenaga Nasional (Uniten) membuat keputusan untuk menyatukan kampusnya di Bandar Muadzam dengan induknya di Bangi. Uniten sebagai universiti swasta tentu juga mahu melaksanakan konsolidasi yang akan menjimatkan kos.
Tetapi langkah Uniten juga menghadapi tentangan terutamanya dari penduduk Bandar Muadzam. Ini kerana kehadiran Uniten di Bandar Muadzam memajukan kawasan itu. Ekonomi tempatan terpacu dengan adanya para pelajar di situ. Dengan tiadanya kampus itu, ia akan menyepikan bandar itu.
Uniten hanyalah satu contoh bagaimana universiti memberikan sumbangan pada pembangunan sesuatu kawasan. Akibatnya pembinaan sesuatu universiti awam di negara ini amat berkait dengan kepentingan politik.
Walaupun Uniten bukanlah universiti awam, tetapi ia dimiliki oleh syarikat berkait kerajaan iaitu Tenaga Nasional. Sementara syarikat berkait kerajaan pula berada pada pengaruh politik.
Maka kehadiran kampus Uniten di Bandar Muadzam adalah juga akibat pengaruh politik daripada sesiapa yang ada kuasa dari kerajaan ke atas syarikat berkait kerajaan yang memilikinya. Ahli politik berkenaan tentunya mahu memajukan ekonomi kawasannya dengan membawa projek kampus universiti ke tempat yang mereka mendapat undi. Sama ada tindakan ini beretika atau tidak, itu memerlukan perbincangan lain. Tetapi apabila ahli politik itu sudah tiada, pemilik universiti merasakan kepentingan mereka menghendaki supaya kampus itu dipindahkan kepada induknya.
Tetapi jika dilihat kedudukan universiti awam, ternyata ada pengaruh kepentingan politik tempatan. Secara tradisinya, universiti terletak di bandar utama negara. UM ditubuhkan kerajaan kolonial British di Singapura, bandar utama British Malaya. Apabila ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, maka ditubuhkan UM di Kuala Lumpur. USM adalah asalnya Universiti Pulau Pinang kerana Georgetown adalah bandar kedua utama kedua Malaya.
UTM dan UPM ialah penaikan taraf Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan Kolej Pertanian Serdang yang asalnya ditubuhkan oleh pentadbir kolonial. Tetapi kampus UKM dibina di Selangor adalah kerana pengaruh kuat Menteri Besar Harun Idris sebagai pemimpin Umno yang popular. Sementara kampus UTM dibina di Johor ketika Hussein Onn yang berasal dari Johor menjadi perdana menteri. Masa itu tidak timbul lagi konsep universiti awam negara berada di negeri. sebab itu UTM tidaklah bernama Universiti Johor dan Universiti Pulau Pinang ditukar nama menjadi USM. Oleh kerana pada masa universiti dinamakan menurut bidang, maka muncullah nama USM, UTM dan UPM.
Maka apabila Dr Mahathir Mohamad mahu membina universiti di Kedah, ia dinamakan Universiti Utara Malaysia (UUM), maknanya bukan saja untuk Kedah tetapi untuk negeri di utara Semenanjung. UUM menawarkan kursus-kursus pengurusan. Tetapi tidakkah lebih baik universiti yang menawarkan kursus korporat dibina di tengah-tengah kota dan bukannya berada di hutan. Tetapi kehadiran universiti menyumbang kepada pembangunan tempatan.
Bukan saja universiti, keberadaan kampus cawangan, institut, kolej malah sekolah berasrama penuh akan memacukan kawasan di mana mereka berada.
Cuba perhatikan di mana kampus universiti itu dibina dan kaitkan dengan ahli politik yang menjadi wakil rakyat di kawasan pilihan raya berkenaan. Sepanjang 60 tahun Umno memerintah, pembangunan pusat pendidikan berkait rapat dengan sokongan pengundi tempatan.
Di penghujung pentadbiran Umno, Bandar Universiti Pagoh mula didirikan ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri Pendidikan. Bandar itu menaikkan nilai kawasan itu dan penduduk tempatan yang merupakan pengundi beliau memperoleh manfaat daripadanya.
Apa yang beliau lakukan itu tidak salah sepanjang pentadbiran kerajaan BN kerana ia merupakan amalan dan budaya yang dapat diterima. Tetapi sama ada dalam pentadbiran PH, amalan dan budaya seumpama itu boleh diteruskan, tentunya ia akan didebatkan. Bagi penulis, pembangunan pendidikan hendaklah ditimbangkan menurut kepentingan nasional dan bukan mengikut kehendak pengundi ahli politik berkenaan yang bernasib baik memegang sesuatu potfolio berpengaruh.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.