Perluas inisiatif Penjana bantu rakyat, elak guna simpanan KWSP, kata pakar

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai berkata, kerajaan boleh memperkenalkan bantuan setem makanan, selain melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman bagi meringankan beban rakyat.

SEREMBAN: Golongan yang sangat terjejas oleh pandemik Covid-19 perlu dibantu melalui pemerkasaan kaedah sedia ada seperti peluasan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu meringankan bebanan mereka, kata pakar ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, antara yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memperkenalkan bantuan setem makanan, selain melanjutkan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman.

Menurut pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak itu, kaedah berkenaan lebih sesuai berbanding pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan simpanan untuk hari tua.

“Kerajaan pada masa ini memang sentiasa berhutang dengan KWSP, jadi sekiranya orang ramai dibenarkan membuat pengeluaran itu, kerajaan perlu membayar hutang terlebih dahulu untuk membolehkan KWSP mempunyai cukup wang untuk dibayar kepada pencarum.

“Pencarum sebenarnya sedang keresahan dan mereka mungkin merasakan (pengeluaran Akaun 1) jalan keluar yang mudah, sedangkan KWSP diwujudkan untuk memastikan mereka yang bekerja mempunyai simpanan selepas bersara,” katanya hari ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan boleh melaksanakan kaedah itu dalam bentuk pinjaman, iaitu pencarum perlu “membayar balik” menerusi jumlah caruman yang lebih tinggi pada masa depan.

“Mereka boleh ambil (daripada Akaun 1) tapi perlu bayar semula melalui jumlah caruman yang lebih tinggi pada masa depan, misalnya kalau sekarang mencarum 11% (daripada jumlah gaji bulanan), boleh tambah 15% untuk ‘recover’ semula dan kalau majikan juga boleh bantu dengan turut menambah caruman kepada pekerja,” katanya.

Pada 30 Okt, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, sukar bagi kerajaan untuk membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP sekalipun ada cadangan agar rakyat dibenarkan berbuat demikian bagi membantu meringankan beban yang bertambah susulan penularan Covid-19.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias dilapor menggesa pencarum membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) untuk membantu merancang kewangan mereka.

Ini kerana katanya, pengeluaran simpanan Akaun 1 tidak harus menjadi satu-satunya cara untuk pencarum mendapatkan tunai.

Sementara itu, penjawat awam Hasnul Ariffin, 40, bersetuju dengan pandangan bahawa akaun tersebut adalah untuk simpanan hari tua dan tidak harus digunakan sekarang memandangkan keadaan mungkin bertambah meruncing pada masa akan datang.