Pitas, Kalabakan kini zon merah Covid-19 di Sabah

15 daerah di Sabah diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19 hari ini berbanding 13 semalam.

KOTA KINABALU: Pitas dan Kalabakan kini bertukar menjadi zon merah apabila masing-masing merekodkan lebih 40 kes aktif Covid-19 hari ini, menjadikan 15 daerah dikategorikan sebagai zon merah di Sabah berbanding 13 semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19, berkata, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri, Pitas merekodkan pertambahan empat kes baru hari ini daripada 40 kes semalam menjadikan daerah itu bertukar daripada zon kuning kepada zon merah.

Beliau berkata, Kalabakan turut mencatatkan empat kes baru dan pertambahan kes itu menyebabkan daerah berkenaan yang sebelum ini dalam zon kuning, bertukar kepada zon merah dengan sebanyak 43 kes aktif dalam masa 14 hari.

“Sabah merekodkan 441 kes baru positif Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes wabak berkenaan di negeri ini 27,679.

“Sebanyak 192 kes atau 43.54% daripada kes baru berpunca daripada saringan kontak rapat melibatkan Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan, manakala selebihnya 249 kes daripada lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Masidi berkata, 738 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 24,519 orang.

Sejumlah 2,027 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 663 di hospital dan 1,364 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), manakala 74 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Masidi berkata, 6,584 katil ditempatkan di hospital dan PKRC seluruh Sabah dengan 30.79% daripadanya digunakan hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Samling Timber Sdn Bhd., sebuah syarikat berpangkalan di Sarawak, yang berbesar hati memberi sumbangan RM500,000 ke akaun Amanah Bencana Alam Negeri untuk bantuan mangsa Covid-19.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada badan bukan kerajaan, badan berkanun dan orang perseorangan bagi membantu lebih ramai rakyat yang terkesan akibat wabak itu, katanya.