KOTA BHARU: Penularan rakaman audio di media sosial kononnya Kelantan bakal dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah tidak benar, kata Ketua Polis Negeri, Shafien Mamat.
Justeru, beliau meminta orang ramai merujuk kepada laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan bagi mendapatkan maklumat terkini keadaan dan arahan semasa dalam membendung penularan Covid-19 di negeri ini.
Dalam kenyataan, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan atau menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular satu rakaman audio seorang lelaki berdurasi 3 minit 18 saat menerusi WhatApps yang mengatakan PKP akan dilaksanakan di Kelantan bermula 14 hingga 21 April ini.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan PKP Bersyarat (PKPB) di Kelantan, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula 15 hingga 28 April ini.