Polis Kelantan laksana sekatan keluar masuk di pondok Daril Naim selepas penghuni positif COVID-19

Pondok Daril Naim di Melor, Kelantan adalah pondok kedua yang penghuninya dikesan positif COVID-19 sehingga terbentuk kluster Halban, menyusuli kluster Huma di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, di Pasir Puteh baru- baru ini.

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengadakan sekatan di laluan keluar masuk Pondok Daril Naim, sebuah pusat pengajian agama dekat Melor di sini, selepas dua penghuni wanita di situ disahkan positif COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata, sekatan itu merupakan langkah awal mencegah penularan jangkitan.

“Terdapat 161 penghuni berusia 12 hingga 60-an di sekolah pondok berkenaan, dan setakat ini 47 orang dihantar mendapatkan rawatan di hospital,” katanya yang ditemui selepas melakukan tinjauan di pondok pengajian agama berkenaan hari ini.

Abdullah berkata, sekatan itu dibuat sejak 4 petang semalam selepas tamat mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob, sekalipun belum ada arahan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Buat masa sekarang kita menjalankan penguatkuasaan selama 24 jam setiap hari.

“Tugasan di sini akan diteruskan sehinggalah jangkitan dapat diatasi dan mendapat keputusan seterusnya daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya.

Difahamkan Pondok Daril Naim di Melor adalah pondok kedua yang penghuninya dikesan positif COVID-19 sehingga terbentuk kluster Halban, menyusuli kluster Huma di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Pasir Puteh dekat sini, baru- baru ini.