Polis siasat anggota trafik disyaki pukul penunggang motosikal

Polis berkata, siasatan giat dijalankan selepas satu klip video tersebar menunjukkan seorang penunggang motosikal dipukul kerana cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat seorang anggota polis trafik yang disyaki memukul seorang penunggang motosikal di tepi Lebuhraya Persekutuan, di sini, seperti tersebar di media sosial.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, insiden itu berlaku sekitar 8 pagi hingga 9 pagi Jumaat di KM28.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.

“Siasatan ke atas anggota polis berkenaan giat dilakukan dan polis tegas dengan pendirian apa saja salah laku pegawai serta anggota akan disiasat dengan teliti dan tindakan diambil daripada sudut undang-undang serta tatatertib, sekiranya didapati wujud kesalahan.

“Ketika kejadian, sebuah motosikal ditunggang sepasang suami isteri warga tempatan didapati cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semasa melarikan diri, penunggang motosikal itu dipercayai melanggar kaki seorang anggota trafik bertugas.

Katanya, penunggang motosikal itu bagaimanapun ditahan anggota trafik lain dan dikenakan saman atas kesalahan tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen motosikal, cukai jalan tamat tempoh serta mempunyai 58 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Nik Ezanee berkata, setakat ini, penunggang motosikal itu belum tampil membuat laporan berhubung insiden itu.

“Kami telah mengenal pasti penunggang tersebut dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan.”

Satu klip video selama 37 saat tersebar di media sosial pada Jumaat menunjukkan seorang anggota polis memukul seorang penunggang motosikal di tepi Lebuhraya Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Azman Shari’at berkata, semakan berdasarkan latar belakang lokasi kejadian dipercayai satu operasi JSPT Selangor diadakan.

“PDRM mengambil berat dan serius kejadian ini dan akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar serta tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.