Rajinikanth terima anugerah tertinggi perfileman India

Rajinikanth bukan sahaja mempunyai peminat yang ramai di India, tetapi juga di luar negara.

NEW DELHI: India telah mengurniakan Anugerah Dadasaheb Phalke, anugerah tertinggi dalam industri perfileman negara kepada pelakon Rajinikanth, lapor Agensi Berita Xinhua.

Berasal dari negeri Tamil Nadu di selatan India, Rajinikanth sudah berada dalam industri perfileman selama lebih empat dekad. Beliau bukan sahaja mempunyai peminat yang ramai di India, tetapi juga di luar negara.

Menteri Penerangan dan Penyiaran Prakash Javadekar berkata, “Saya amat berbesar hati mengumumkan pengurniaan Dadasaheb Phalke 2019 kepada seorang pelakon terhebat dalam sejarah perfileman India, Rajnikanth. Sumbangannya sebagai pelakon, penerbit dan penulis skrip menjadi ikon.”

Penerima anugerah itu sepatutnya diumumkan tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana pandemik.

Perdana Menteri Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada pelakon itu.

“Popular di seluruh generasi, banyak karya beliau yang dapat dibanggakan, peranan dan keperibadiannya yang mengagumkan itulah Rajinikanth.

“Sangat berbangga bintang Thalaiva itu telah dikurniakan Anugerah Dadasaheb Phalke. Tahniah kepadanya,” tulis Modi di Twitter.

Diwujudkan pada 1969, anugerah itu dinamakan sempena Dadasaheb Phalke yang dianggap “Bapa Perfileman India.”

Anugerah itu turut menyediakan hadiah wang tunai sejuta rupee India (USD13,629).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com