Rujuk Perlembagaan sebelum ulas spekulasi darurat, menteri beritahu Anwar

Annuar Musa (kiri) berkata, Anwar Ibrahim perlu menerima hakikat beliau turut terbabit sehingga keadaan gawat berlaku sekarang.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim merujuk Perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan spekulasi pengisytiharan darurat semalam.

Annuar yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata, presiden PKR itu perlu membaca Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150 yang menerangkan pelbagai jenis darurat.

“Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya disenaraikan, maka penaksirannya kena rujuk pada pakar undang-undang. Adakah pandemik Covid-19 ini tidak boleh masuk dalam kategori darurat dan keselamatan?

“Sebanyak 32 negara di seluruh dunia sudah pun isytiharkan darurat, Malaysia belum lagi kerana kita rasa masih boleh urus negara…itupun saya tak kata kerajaan akan isytihar darurat,” katanya selepas membuat tinjauan operasi MyGrocer@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas, Setapak, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam yang berkata, pengisytiharan darurat hanya dilakukan apabila terdapat unsur ancaman pada keselamatan negara, dan jika kerajaan yang menjadi punca kepada ancaman keselamatan, maka langkah darurat ialah langkah ke belakang yang mungkin menyebabkan kediktatoran.

Annuar berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung pengisytiharan darurat dan ia perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum dilaksanakan.

“Apabila sebut soal darurat, orang awam bayangkan ‘curfew’, darurat masa 13 Mei, tetapi kita terlupa waktu banjir di Manik Urai, Kelantan satu waktu dahulu, kenapa kerajaan tak isytihar darurat? Itu namanya darurat banjir dan darurat ada berbagai jenis darurat.

“Apa pun, kita tunggulah…kerajaan belum membuat sebarang keputusan kerana segalanya mesti mengikut jalur perundangan. Kalau kerajaan belum buat sebarang keputusan, tapi kita dah jatuhkan hukum kata kerajaan nak jadi diktator, itu saya fikir tidak adil.”

Bagaimanapun, Annuar berkata, jika kerajaan membuat keputusan mengisytiharkan darurat, pasti ada penjelasan teliti mengenainya seperti spesifikasi darurat serta siapa yang memerintah negara semasa darurat.

“Saya lihat analisa (kenyataan) Anwar adalah analisa ‘layman’. Dia kata tiada apa-apa perkara yang mengganggu ketenteraman awam.

“Sepatutnya, jangan hukum sebelum benda berlaku…dia sendiri ramal dan dia sendiri jatuh hukum, itu tidak baik. Saya fikir itu adalah tindakan tidak beretika. Lagipun, Anwar kena terima hakikat dia turut terlibat sehingga menyebabkan timbul keadaan gawat sekarang.”