Sanggup beratur lebih 2 jam demi rebut peluang terakhir naik feri P Pinang

Penumpang feri lebih ramai berbanding biasa pada hujung minggu sehingga kini.

GEORGE TOWN: Ribuan penduduk tempatan dan pengunjung luar merebut peluang terakhir menaiki feri Pulau Pinang sebelum perkhidmatannya ditamatkan 1 Jan ini.

Ada yang sanggup beratur lebih dua jam dan bertahan ke tandas.

Di bahagian pulau, kereta beratur lebih 1km sehingga ke Menara Jam Peringatan Victoria di George Town. Selepas memasuki feri, mereka terpaksa beratur panjang untuk ke tandas kecil dalam kapal itu pula.

Bagi keluarga Cheng Wei Chun, penantian mereka bermula 2.40 petang dan hanya dapat menaiki feri Pulau Talang Talang pada 5 petang.

Seorang kanak-kanak melambai ke arah feri yang berlabuh di Butterworth.

Cheng antara individu yang menaiki tangga curam dan sempit ke dek penumpang, lokasi terletaknya tandas. Ketika beliau kembali ke keretanya, feri itu hampir berlabuh.

Penumpang lain menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan menghentikan perkhidmatan feri itu.

Anak jati Butterworth, Kelly Saw, 41, berkata feri ialah ikon ibu kota wilayah berkenaan.

Katanya, pada akhir 1980-an dan 1990-an, penduduk Butterworth menaiki feri setiap hujung minggu untuk aktiviti santai mereka. Kebanyakan mereka tidak memiliki kereta dan bekerja di bahagian pulau.

“Feri ialah bahagian penting Butterworth. Walaupun kami mempunyai kereta sekarang, feri masih menjadi jiwa kami, ikon yang kami banggakan.

Walaupun ramai penumpang feri dilihat mengambil angin dan bergambar pada petang yang panas, tidak kurang pula yang mengelilingi pelukis Khoo Cheang Jin sedang melakar keadaan dalam feri.

Pelukis Khoo Cheang Jin menunjukkan lakaran keadaan dalam feri.

Anak jati Pulau Pinang berusia 57 tahun itu mula menaiki feri sejak 20 Dis lalu. Beliau sedih dengan berita pemberhentian perkhidmatan feri.

“Dua puluh tahun lalu, saya melukis banyak gambar berlainan. Penumpang berborak, membaca akhbar, terlelap dalam kereta. Hari ini, semua saya lihat ialah orang ramai dengan telefon bimbit mereka.”

Bagi warga emas berusia 66 tahun, Endon Abdullah, feri ialah sesuatu yang baru baginya.

Ini ialah pengalaman kedua sepanjang hidupnya kerana beliau tinggal di Temerloh, Pahang. Kali pertama beliau menaiki feri pada 1990-an.

Feri Pulau Kapas berlabuh di Butterworth. Feri ini sudah dihentikan perkhidmatan.

Pegawai bank di Kajang, Shahrullrizal Sulaiman, 44, berkata sekurang-kurangnya sebuah feri lama perlu dikekalkan.

“Orang Pulau Pinang sangat bangga dengan feri mereka. Kita perlu kekalkan. Sekurang-kurangnya perkhidmatan sebuah feri lama dikekalkan dengan kapasiti 50%.”

Salah sebuah feri lama sebenarnya akan terus beroperasi sekurang-kurangnya sehingga Julai 2022, tetapi ia tidak akan membawa pejalan kaki atau kereta. Hanya motosikal, basikal dan beca dibenarkan menaiki feri.