Selepas ibu bapa dan adik, kini datuk pula positif Covid-19

Alif mengucapkan terima kasih kepada warga barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh kerana menjaga keluarganya dan semua pesakit Covid-19. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Alif Satar kini sedang berdepan dengan ujian paling gentir apabila empat orang ahli keluarganya turut sama disahkan positif Covid-19.

Semalam kedua ibu bapa dan adik bongsunya dijangkiti Covid-19, hari ini datuknya, Mohamad Che Noh turut sama disahkan positif Covid-19. Kesemua ahli keluarganya kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Pakwan (datuk) saya, 91 tahun juga pesakit Covid-19. Alif minta tolong semua untuk doakan agar Pakwan Alif terus kuat dan dikurniakan kesihatan seperti biasa.

“Semoga Allah merahmati kalian semua,” ujar Alif menerusi hantaran di Instagram dengan memuat naik paparan skrin panggilan video dengan datuknya yang kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Alif turut mengucapkan terima kasih kepada warga barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh kerana menjaga keluarganya dan semua pesakit Covid-19.

“Anda semua sudah jalankan tugas dengan baik!” katanya.

Sementara itu, isteri Alif, Sha Dila Hadid ketika dihubungi berkata, datuk Alif tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Hanya perlu dipimpin atau memakai tongkat apabila berjalan.

“Mungkin Pakwan terkena jangkitan sebab semua bergilir-gilir menjaga dia. Kasihan juga apabila dia kena,” katanya.

Isteri dan tiga anak mereka Alisha Anugerah, 5; Ariana Mecca, 3; dan Muhammad Ali, 1, bagaimana pun disahkan negatif Covid-19 selepas membuat ujian saringan, semalam.

Menurut Sha Dila, hasil ujian itu diterima pagi hari ini dan mereka akan terus menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari walaupun keputusan negatif.

Alif turut mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada semua kerana mendoakan keluarganya.

“Allah SWT makbulkan doa anda semua. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak saya bebas dari Covid-19 dan akan terus menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Saya menerima ribuan mesej dan kata-kata positif melalui Instagram dan WhatsApp. Saya baca dan nak ucapkan terima kasih yang tak terhingga atas doa semua.

“Terima kasih atas semua yang sudah anda lakukan untuk saya sekeluarga. Saya berdoa semoga Allah SWT juga mengabulkan doa untuk anda dan keluarga juga. Insya-Allah,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com