KUALA LUMPUR: Semua aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka dan tertutup secara latihan bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri kini dibenarkan di kawasan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan mematuhi penjarakan fizikal 1m hingga 3m.
Bagi penganjuran kejohanan, pertandingan atau perlawanan persahabatan mengikut model gelembung sukan pula, ia terhad bagi penganjuran Liga Bola Sepak Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) tanpa kehadiran penonton atau penyokong.
Program latihan berpusat secara kuarantin bagi pasukan-pasukan dalam MFL, MHL dan STL menggunakan model gelembung sukan juga dibenarkan.
Lebih banyak kelonggaran diberikan di kawasan PKP bersyarat (PKPB) dan PKP pemulihan (PKPP) seperti sukan berpasukan serta penganjuran, kejohanan dan pertandingan tempatan mengikut model gelembung sukan dengan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Selain itu, fasiliti atau premis tertutup dan separa tertutup dibenarkan beroperasi di bawah kawalan penyeliaan sepanjang tempoh operasi di semua kawasan PKP, PKPB, dan PKPP.
Namun begitu, kehadiran penonton atau penyokong dan aktiviti massa seperti larian sukaneka, marathon dan triathlon masih tidak dibenarkan untuk semua kawasan.
KBS dalam kenyataan memaklumkan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam telah bersetuju dengan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi oleh kementerian berkenaan.
KBS menegaskan bahawa semua prosedur operasi standard (SOP) dan prokotol am yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada pewartaan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), peraturan-peraturan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kementerian Kesihatan dan MKN dari semasa ke semasa.
Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua penggiat dan pemain industri sukan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan sektor sukan dan rekreasi terus mendapat keyakinan dan kepercayaan kerajaan untuk memastikan kelangsungan industri sukan secara keseluruhan.
“Selaras dengan pengumuman tersebut, KBS telah mengemas kini dan menambah baik SOP sektor sukan dan rekreasi sedia ada untuk panduan dan pematuhan semua pihak yang terlibat,” kata beliau.
Maklumat lanjut dan terkini mengenai SOP tersebut boleh diperolehi di laman web KBS melalui pautan http://www.kbs.gov.my/sopsukanrekreasi.