Sokong pindaan perlembagaan tanda sokong PM, DAP beritahu PAS

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, PAS sepatutnya membatalkan rancangan untuk membawa usul percaya kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

KOTA KINABALU: Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin hari ini menggesa PAS supaya menyokong pindaan perlembagaan untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf dalam persekutuan Malaysia sebagai tanda sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Beliau menyifatkan cadangan usul percaya yang dibuat oleh timbalan presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai melucukan, dengan menambah bahawa usul tersebut tidak menunjukkan parti itu menyokong inisiatif yang dibuat oleh Mahathir.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu berkata, cara terbaik ahli Parlimen PAS menunjukkan sokongan kepada Mahathir ialah dengan menyokong usul dan rang undang-undang yang dibentangkan oleh pemimpin itu sendiri.

“Tarikh 9 Apr tahun lepas sepatutnya menjadi hari bersejarah bagi rakyat Sabah dan Sarawak apabila Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri, mengakui bahawa pindaan perlembagaan yang dibuat pada 1976 yang menjadikan kedudukan 2 negeri itu setaraf dengan negeri lain di semenanjung Malaysia bukanlah tujuan asal bapa kemerdekaan negara.

Chan Foong Hin.

“Justeru wujud keperluan untuk meminda Perkara 1(2) perlembagaan negara bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak dengan kembali kepada kata-kata asalnya.

Satu rang undang-undang telah dibentangkan oleh Mahathir untuk meminda perkara itu, tetapi tewas dengan 10 undi.

“Terdapat sekurang-kurangnya 17 ahli Parlimen PAS ketika bacaan kali ke-2 rang undang-undang itu, tetapi mereka memutuskan untuk tidak menyokong Dr Mahathir dengan tidak mengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

“Jelas bahawa PAS bersikap tidak baik dan mahu memberitahu Dr Mahathir bahawa tanpa mereka, perdana menteri itu tidak dapat mengawal keadaan dan gagal memulihkan perlembagaan.

Chan berkata, PAS kini berpeluang menunjukkan sokongan kepada Mahathir kerana cadangan pindaan perlembagaan tersebut akan dibuat kali ke-2 dalam persidangan Parlimen Mac depan.

“Bukan sahaja ia merupakan cara terbaik untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi juga akan membantu mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Jika PAS boleh berbesar hati berbuat demikian, maka jelas cadangan usul percaya itu tidak perlu dan hanya membuang masa Parlimen,” katanya, selain menambah bahawa parti Islam itu sepatutnya membatalkan rancangannya untuk membawa usul berkenaan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.