Staf UM sokong graduan protes naib canselor di pentas konvokesyen

Wong Yan Ke bercakap kepada media di luat Dewan Tunku Canselor UM, semalam.

PETALING JAYA: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) hari ini menyokong pelajar yang mencetuskan kontoversi menerusi protes pada majlis konvokesyen selepas penglibatan universiti itu dengan Kongres Maruah Melayu, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, PKAUM berkata ia menyokong hak Wong Yan Ke mengemukakan ketidakpuasan hatinya tetapi tidak bersetuju dengan platform graduan itu gunakan untuk berbuat demikian.

Walaupun protes itu mencemarkan majlis untuk graduan dan keluarga mereka yang lain, PKAUM berkata, ia mungkin didorong oleh komuniti pelajar yang tidak berpuas hati dengan “banyak kesalahan dan salah tindakan naib canselor UM”.

Ia berkata naib canselor gagal mempromosikan toleransi dan perpaduan kaum di UM dengan melibatkan diri dalam penganjuran kongres itu pada 6 Okt di Shah Alam.

Ia juga bercakap mengenai kegagalan untuk “melepaskan diri daripada permainan ahli politik” yang dikatakan tidak akademik dan kegagalan untuk menjamin keselamatan dalam kebakaran yang didakwa berlaku di Fakulti Ekonomi UM pada 27 Ogos serta “pelbagai rompakan dan pecah rumah di kampus”.

Wong, seorang pelajar kejuruteraan awam yang membawa plakad di pentas majlis konvokesyen, Isnin lalu menuntut peletakan jawatan Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim.

Dia memberitahu FMT bantahannya terhadap Rahim dibuat kerana nama universiti itu digunakan untuk alasan perkauman dan politik sebagai salah sebuah daripada empat universiti yang menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Katanya, dia tidak bertindak sebarangan dan sudah mendapatkan pandangan dan nasihat pensyarah dan rakannya.

UM kemudian membuat laporan polis terhadap Wong, menuduhnya tidak menghormati istiadat, mengganggu protokol dan kelancaran majlis konvikesyen.

PKAUM menggesa UM mengambil tindakan segera untuk mengelakkan ketegangan daripada berkembang dalam kalangan kumpulan pelajar.

Ia juga menyelar tindakan menghalang seorang pelajar lain, Edan Kon, daripada menerima sijilnya di majlis konvokesyen semalam, mengatakan ia “benar-benar terkilan” pada “sasaran yang tidak adil” sedemikian.

Kon, seorang pelajar perakaunan percaya pentadbiran universiti bimbang dia akan melakukan tunjuk perasan sama seperti rakan universitinya, Wong.

Menegaskan dia tiada niat untuk berbuat demikian, katanya, universiti itu gagal menjelaskan mengapa dia dihalang.