Sungai bertukar warna, berbuih dirakam di Perak, JAS turun siasat kilang

PETALING JAYA: Sebatang sungai di Jelapang berdekatan Ipoh, Perak dirakam bertukar warna dan berbuih-buih oleh seorang warganet, dipercayai kerana kimia daripada sebuah kilang, tersebar di media sosial sehingga mendorong pihak berkuasa untuk bertindak.

Perakam berkenaan, yang hanya dikenali sebagai “Asri Janggut”, mendakwa sudah 20 tahun perkara ini berlaku tanpa tindakan daripada pihak berkuasa.

“Bukan sehari dua. Tak tahulah mereka makan rasuah ke apa sampai tak boleh ambil tindakan. Sakit hati betul,” katanya dalam video yang disiarkan semalam.

Bertindak atas aduan yang diterima, Jabatan Alam Sekitar Perak hari ini turun padang bersama Asri untuk menyiasat kejadian yang dikatakan akan berlaku 2 kali setahun itu.

“Dulu kita tak boleh rakam sebab teknologi tidak secanggih sekarang, tapi semalam rezeki kami untuk rakam,” kata Asri kepada Pengarah JAS Perak, Rosli Zul semasa pemeriksaan yang disiarkan di Facebook.

“Kalau keadaan teruk bukan sahaja ikan akan mati tetapi biawak juga boleh mati dan pernah mati,” tambahnya.

Rosli pula mendedahkan siasatan awal di kilang terbabit mendapati memang berlaku tumpahan dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

Merujuk kepada laporan JAS Perak yang terakhir ke atas kilang tersebut pada Ogos tahun lepas, Rosli berkata laporan menyatakan “tidak ada masalah”.

Dapatan awal siasatan hari ini mendapati memang ada kejadian tumpahan dalam kilang “tapi kilang lambat mengambil tindakan”.

“Jadi kita akan caj dan mengarahkan kerja pembersihan kerana kegagalan ambil tindakan,” katanya.

Rosli berkata kejadian hari ini telah dimaklumkan kepada pihak atasan di Putrajaya.

“Jangan serik jadi mata dan telinga kami,” kata Rosli kepada Asri.

Sementara itu, FMT dimaklumkan Exco Mohd Akmal Kamarudin yang memangku portfolio alam sekitar sudah berada di kilang tersebut bersama JAS untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan kementerian bertindak atas aduan yang diterima berhubung pencemaran sungai itu.

Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan pada petang ini, katanya.