
PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini memaklumkan, kerajaan Persekutuan tidak menetapkan had tertentu untuk jumlah pelanggan bagi setiap meja dan turut membenarkan semua peringkat umur menjamu selera di premis makanan atau restoran.
Wee berkata, sekiranya satu-satu meja boleh memuatkan sehingga 10 orang, maka 10 orang boleh menjamu selera di meja tersebut, dengan pelanggan mengamalkan penjarakan sosial.
“Pengusaha restoran perlulah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, termasuk merekodkan butiran pelanggan, memeriksa suhu badan pekerja dan pelanggan, menyediakan pembersih tangan dan menjaga jarak sosial.
“Manakala jumlah maksimum perhimpunan bagi sesebuah dewan adalah sehingga 250 orang,” katanya di Facebook, hari ini.
Wee berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan Ku Su Shin Choong Hung serta Persatuan Pengusaha Restoran Selangor & Wilayah Persekutuan bagi mendengar permasalahan dihadapi dalam industri penyediaan makanan dan minuman.
Menurutnya, antara isu dibangkitkan adalah mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas berkaitan had jumlah pelanggan yang dibenarkan menjamu selera bagi setiap meja, serta sama ada warga emas dan kanak-kanak dibenarkan memasuki premis bersama-sama.
“Kekeliruan ini mengakibatkan pelanggan berasa tidak yakin dan banyak tempahan dibatalkan, termasuk tempahan meja untuk meraikan Hari Bapa.
“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan amat memahami keresahan mereka. Pelanggan dari semua peringkat umur adalah dibenarkan menjamu selera di premis makanan atau restoran,” katanya.