KUALA LUMPUR: Polis belum menerima sebarang laporan laman web kerajaan digodam setakat ini, selepas ancaman sekumpulan penggodam menggelar diri mereka “Anonymous Malaysia”.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.
Jika penggodaman dilakukan dengan niat mensabotaj sistem keselamatan negara, katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup serta penjara sehingga 15 tahun.
“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya kepada Bernama.
Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Antara dakwaan “Anonymous Malaysia” ialah sistem keselamatan negara di tahap rendah dan boleh menyebabkan penggodam menjual segala maklumat bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi digodam hingga hari ini.
Zainuddin mengharapkan orang ramai memberi sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penggodaman.
“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan terhadap rakyat dan negara ini. Sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terpelihara.”
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis sedar dan mengambil serius ancaman kumpulan penggodam terbabit.
“Kami sedar (ancaman penggodaman) sebab itu, ia sedang dipantau oleh JSJK,” katanya.