Tommy Thomas didakwa sub judice, memfitnah

Baljit Singh Sidhu berkata, Tommy Thomas menulis mengenai kes anak guamnya, sedangkan perkara itu masih dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

PETALING JAYA: Bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang sedang berdepan saman dan dikatakan tersalah fakta, kini dituduh sub judice serta memfitnah.

Peguam Baljit Singh Sidhu berkata, Thomas tidak sepatutnya mendedahkan fakta satu kes membabitkan anak guamnya, yang juga bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Sundra Rajoo, dalam memoir terbarunya.

Katanya, proses semakan kehakiman anak guamnya di Mahkamah Persekutuan belum selesai.

Sundra menjadi perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabatnya pada 2018 kerana disyaki menggunakan dana kerajaan untuk mendapatkan bantuan daripada bekas menteri dan menteri yang masih berkhidmat untuk melanjutkan kontraknya.

Serbuan itu dilakukan susulan surat tanpa nama yang dihantar kepada beberapa orang, termasuk SPRM, bekas peguam negara, bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah dan bekas ketua polis negara, Mohamad Fuzi Harun.

Baljit berkata, semakan kehakiman itu difailkan sebelum pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya, bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam buku Thomas.

Katanya, Thomas adalah “satu-satunya peguam negara di dunia yang bertindak berdasarkan surat layang”.

“Pendedahan oleh Thomas berhubung nasihat yang diberikan perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja serta pegawai kerajaan lain sangat tidak wajar,” kata Baljit yang berpendapat peranannya sebagai penasihat kerajaan datang dengan prinsip kerahsiaan.

“Saya melihat beliau sudah melanggar sumpah kerahsiaannya menurut Akta Rahsia Rasmi dan berkemungkinan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan.”

Memoir Thomas yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” memperincikan pencapaian dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, dengan isu utama lain seperti pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah Islam kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.