Vaksinasi semua penduduk luar bandar sekali gus, kata Ahli Parlimen Sarawak

Kata Dr Kelvin Yii, pihak berkuasa mesti bertindak pantas memberi vaksin kepada penduduk luar bandar untuk melindungi mereka daripada strain baharu yang lebih senang berjangkit.

KUCHING: Seorang Ahli Parlimen Sarawak menyeru agar kerajaan memvaksinasi semua penduduk luar bandar sekali gus berbanding menggunakan pendekatan tiga fasa dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii daripada DAP berkata, selain daripada pelbagai masalah logistik, kebanyakan penduduk luar bandar tidak mempunyai akses kepada Internet atau aplikasi MySejahtera, yang menyukarkan mereka untuk didaftarkan atau dikesan.

“Sebilangan mereka yang tinggal di daerah terpencil berisiko ketinggalan, terutamanya untuk mendapatkan dos kedua, yang diberikan 21 hari (selepas dos pertama),” kata beliau.

Di bawah program imunisasi kebangsaan, petugas barisan hadapan adalah yang pertama diberi vaksin, diikuti oleh golongan berusia lebih daripada 65 tahun dan mereka yang mempunyai penyakit serius, kemudian orang awam.

Yii, yang disahkan positif Covid-19 tahun lalu, mengulas pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini bahawa kerajaan persekutuan secara prinsip telah bersetuju untuk membenarkan Sarawak memberi vaksin kepada penduduk kawasan pedalaman sekali gus, tanpa mengira kategori, susulan masalah logistik.

“Saya sokong keputusan itu. Pihak berkuasa mesti bertindak pantas memberi vaksin kepada penduduk luar bandar untuk melindungi mereka daripada strain baharu yang lebih senang berjangkit,” kata beliau.

“Fasiliti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan tidak berkemampuan sekiranya terlalu ramai pesakit mengalami gejala yang teruk.”

Yii berkata, usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk luar bandar perlu menggunakan bahasa dan dialek tempatan untuk meningkatkan keyakinan mereka terhadap program vaksinasi.

“Saya sedar sebilangan penduduk luar bandar ragu-ragu untuk menerima vaksin. Kita perlu menggunakan bahasa ibunda mereka dan melibatkan ketua rumah panjang serta ketua kampung, untuk memastikan mereka faham manfaat vaksin,” kata beliau.