Viral gambar wanita dukung anak bawa GrabFood, suami tampil beri penjelasan

Susulan penularan dua keping gambar tentang seorang wanita mendukung anaknya, didakwa menghantar makanan kepada pelanggan melalui perkhidmatan GrabFood, suaminya Mohamad Hafifi Mohamad Yusoff, 25 tampil memberi penjelasan.

Beliau ketika dihubungi FMT berkata perkara itu tidak benar seperti yang disebarkan sejak tiga hari lalu.

Menurut Hafifi ketika itu dia ingin membuat penghantaran makanan terakhir kepada pelanggan di Kampung Kerinchi, Bangsar.

Namun semasa ingin mengambil makanan yang ditempah, beliau membawa anak dan isterinya yang turut menginginkan makanan di restoran makanan segera yang sama.

“Kebetulan anak saya nak aiskrim, isteri saya pun nak beli makanan di McDonalds, jadi saya membawa mereka sekali untuk mengambil tempahan yang dibuat.

“Kemudian saya menghantar mereka di rumah terlebih dulu kerana rumah saya dekat dengan rumah pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Menjelaskan keadaan itu Hafifi berkata beliau terkejut dengan gambar yang disebarkan sejak tiga hari lalu dengan menyatakan ia adalah pengorbanan isteri yang menyara keluarga dengan terpaksa membawa anak kecil keluar pada waktu malam.

“Saya pun risau kalau gambar ini terus tersebar ia akan menjejaskan keadaan saya yang mungkin tidak lagi boleh membuat perkhidmatan Grabfood ini,” jelasnya lagi.

Yusoff yang bekerja sendiri kini membuat perkhidmatan GrabFood sejak enam bulan lalu bagi mencari pendapatan sampingan untuk menyara isteri dan dua orang anaknya.

Penularan gambar tersebut mendapat perhatian netizen di laman sosial Facebook dengan lebih 5,000 “likes”, 2,700 “share” dan 955 komen yang rata-rata menyatakan kesedihan serta menyifatkan ia pengorbanan seorang ibu bagi menyara anak yang didukungnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com