YaPEIM saran ‘wilayah bebas berniaga’ di WP diperluas ke seluruh negara

Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, diberi kebenaran membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai, mulai esok.

KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) menyarankan agar inisiatif “wilayah bebas berniaga” yang bermula esok di Wilayah Persekutuan diperluaskan konsepnya ke semua negeri di Malaysia.

Pengerusi YaPEIM Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, inisiatif itu merupakan peluang baik buat warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan dan memanfaatkan kebenaran diberikan sebaik mungkin.

“Pelaksanaan seumpama ini seharusnya dilaksanakan di semua negeri di Malaysia, selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan kebersihan”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mengumumkan kebenaran kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai, mulai esok.

Pengerusi YaPEIM Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Peniaga bagaimanapun disyaratkan memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama 6 bulan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditawarkan secara percuma.

Mohd Redza berkata, YaPEIM menerusi Ar- Rahnu YaPEIM juga memberi sokongan dalam bentuk pembiayaan berasaskan emas kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Malah, YaPEIM sentiasa membuka pintu bagi membantu mereka yang terkesan, terutamanya kehilangan pendapatan dengan menawarkan platform jualan secara atas talian menerusi CMASA.my, sekali gus menjadi pilihan tambahan, selain pembukaan gerai.

“YaPEIM berharap agar masyarakat menggunakan peluang diberikan sebaiknya dalam usaha bersama-sama memperkasakan sektor ekonomi, khususnya industri tempatan, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara amnya,” katanya.