
PETALING JAYA: Kira-kira 200 individu berbaju hitam dan merah mencetuskan kekecohan ketika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman makan malam bersama ahli keluarga dan rakannya di sebuah restoran di Ulu Tiram semalam.
Kumpulan itu mengeluarkan kata-kata kesat dan ugutan ketika mengelilingi restoran itu yang turut mempunyai pelanggan wanita serta kanak-kanak.
Mereka turut mendesak ahli Parlimen Muar itu keluar dari Johor.
Turut bersama Syed Saddiq ketika kejadian ialah ibu bapanya, Exco Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, Adun Puteri Wangsa di Johor, Mazlan Bujang, beberapa ahli Pemuda PPBM serta keluarga mereka.
Mereka kemudiannya diiringi keluar dari restoran itu melalui jalan belakang, manakala yang lain cuba mengalihkan perhatian kumpulan itu di luar.

“Ini tidak wajar dan menyedihkan, khasnya apabila ada wanita dan kanak-kanak di sana.
“Saya mahu mengingatkan mereka di sebalik ancaman ini yang tiada orang terkecuali daripada undang-undang atau Perlembagaan, termasuk saya,” kata Syed Saddiq yang juga ketua Pemuda PPBM.
Sumber daripada pihak berkuasa mengesahkan penyokong pembangkang antara individu yang mencetuskan kekecohan itu.
Selepas seketika, Syed Saddiq bersama Rafiq dan Mazlan keluar dari premis itu melalui jalan belakang.
Pollis dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian ini.
BERITA LANJUT MENYUSUL

