NEW YORK: Bank Negara Amerika Syarikat mengumumkan Rizab Persekutuan melarang seorang eksekutif kanan Goldman Sachs terbabit dalam industri perbankan selama-lamanya susulan skandal 1MDB.
Andrea Vella yang diminta bercuti susulan siasatan ke atas skandal itu, di mana Goldman Sachs didakwa membantu 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion dalam bentuk bon.
Jabatan Kehakiman AS dilaporkan berkata, lebih AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB oleh pegawai berpangkat tinggi dana itu dan sekutu mereka antara 2009 hingga 2015.
Rizab Persekutuan menerusi perintah pentadbirannya berkata, Vella “terbabit dalam amalan tidak selamat dan tidak baik” dengan gagal mengambil tindakan terhadap pembabitan Low Taek Jho dalam tawaran bon pada 2012 dan 2013.
Rizab Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa menjadi dalang dan orang tengah kepada dana 1MDB, “ialah orang yang dikaitkan dengan Goldman dan pembabitannya menunjukkan risiko penaja jaminan berpotensi tinggi”.
Tindakan itu menyusul larangan seumur hidup ke atas 2 bekas pegawai Goldman, Tim Leissner dan Roger Ng daripada industri perbankan.
Bulan lalu, Goldman Sachs mengetepikan kos guaman AS$1.1 bilion, dengan kebanyakan wang itu dijangka digunakan dalam penyelesaian 1MDB.