
KUANTAN: PAS menolak pemimpin parti politik yang terpalit dengan aktiviti tidak bermoral, kata Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata, pemimpin perlu membubarkan parti dan meletak jawatan jika ada dalam kalangan mereka terlibat melakukan aktiviti tidak bermoral.
Katanya, PAS malu dengan perlakuan tidak bermoral dan secara berkias Hadi berkata, beliau bersedia membubarkan parti jika mana-mana “anak buahnya” dibuktikan terpalit dengan aktiviti tidak bermoral.
“Media (sila) laporkan bahawa PAS tolak pemimpin parti politik tidak bermoral. Kita tidak mahu sebut nama, siapa makan cili dia rasa pedas.
“Kalau sayalah, anak buah saya macam ini (tidak bermoral), saya letak jawatan dan bubar sahaja parti. Kepada kita moral adalah teras dalam parti dan jemaah. Ini yang akan memelihara jati diri kita. Kita akan pelihara parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas di Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 di sini, hari ini.
Hadi berkata, PAS tegas dan tidak teragak-agak memecat mana-mana pemimpin parti yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
“Politik Islam, penekanan tarbiah amat penting dalam parti kita. Alhamdulillah disiplin kita dengan tarbiah, akhlak moral sangat tinggi.
“PAS tak teragak-agak pecat mana-mana pimpinan tidak bermoral. Bukan macam parti yang anggap moral perkara enteng, ringan, apatah lagi terlibat aktiviti begitu.
“Hanya mereka yang sanggup hadapi cabaran dari segenap penjuru yang boleh bersama dalam perjuangan ini,” katanya sambil memaklumkan perjuangan PAS berpegang kepada prinsip Islam dan tidak memisahkan politik dan Islam.
Dalam perkembangan sama, ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz, individu di tengah-tengah kontroversi klip video seks sejenis didakwa melibatkan timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali, dalam satu temu bual media semalam, mendakwa “hubungan intimnya” dengan menteri hal ehwal ekonomi itu bermula pada 2016 sewaktu masih belajar di Universiti Malaya.
Terdahulu, sewaktu muncul membuat pengakuan berhubung satu klip video tular memaparkan aksi hubungan sejenis 2 individu, Haziq berkata, beliau adalah seorang daripada mereka, sementara pasangannya adalah Azmin.
Azmin menafikan dakwaan itu dan membuat laporan “qazaf” terhadap Haziq serta mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.
Semalam, jawatankuasa disiplin PKR berkata, ia akan mengeluarkan satu surat tunjuk sebab terhadap Haziq berhubung dakwaannya itu.