Dewan Rakyat kecoh wakil rakyat tak diberi peluang bertanya

Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen mempersoalkan tempoh bahas terlalu pendek. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Susulan tempoh berucap dipendekkan kepada 20 minit bagi setiap kementerian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2021 menyebabkan suasana dalam Dewan Rakyat hari ini tegang apabila beberapa wakil rakyat bangun menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Keadaan tegang itu tercetus apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bangun menyatakan rasa kesalnya apabila ada Ahli Parlimen tidak diberi peluang untuk menyoal Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada akhir ucapan penggulungan.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebelum itu memberitahu Zuraida supaya menghabiskan ucapannya memandangkan waktu sudah tamat dan mematikan mikrofon ketika Ahli Parlimen lain mahu bercakap.

“Saya tak setuju Yang di-Pertua ambil sikap terlalu keras menghalang ahli Yang Berhormat (YB) membangkitkan isu penting. Dewan ini untuk berbahas bukan hanya mendengar jawapan menteri. Saya bantah,” kata Anwar.

Azhar kemudian berkata: “Saya faham, jangan kata saya tak faham tetapi ini waktu penjelasan kementerian bukan waktu perbahasan, kalau nak berbahas bukan waktu ini,”

“Yang di-Pertua selalu cakap faham, tetapi sebenarnya tak faham. YDP terlalu keras sebab saya fikir isu yang dibangkit, biar bagi ruang kepada menteri jawab. Lima minit masa tambahan pun masalah?” soal Anwar.

Azhar berkata, hak prerogatif Zuraida untuk tidak membenarkan Ahli Parlimen lain mencelah dan memberi isyarat kepada menteri berikutnya meneruskan ucapan.

Semasa ucapannya, Zuraida mengabaikan pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai apakah Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) membabitkan lantikan politik.

Dia juga tidak membenarkan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengganggu ucapannya.

Semasa berucap, Zuraida menjelaskan PeKT tidak ada kaitan dengan NGO dikaitkan dengannya walaupun namanya hampir serupa.