Kami tiada pilihan kecuali tutup akaun bank warga Iran, kata Dr M

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui Malaysia menghadapi tekanan untuk menutup akaun bank individu dan syarikat Iran, tetapi beliau mempertahankan hubungan dua hala dengan Tehran di tahap baik.

“Kita dipaksa menutup akaun bank itu. Jika tidak, mereka akan tutup bank kita.

“Ia adalah satu bentuk buli oleh pihak yang sangat berkuasa,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) Kementerian Pendidikan hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Terdahulu, Reuters hari ini melaporkan beberapa bank di Malaysia menutup akaun individu dan syarikat Iran, dipercayai ada kaitan dengan sekatan yang dilaksanakan Washington.

Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik yang baik dengan Tehran dan pemimpin kedua-dua negara membincangkan cara memperkukuhkan hubungan itu minggu lalu, walaupun Washington melaksanakan sekatan ke atas program nuklear Iran pada akhir tahun lalu.

Tidak jelas jika penutupan akaun itu ada kaitan dengan sebuah kapal tangki minyak Iran dikesan di luar pesisir Malaysia tahun ini, perkembangan yang tidak disenangi AS.