KDN lancar Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam baru jamin keharmonian

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berucapa pada majlis pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Malaysia di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Malaysia (DKKA) dengan enam teras utama dalam memastikan keselamatan dan keharmonian awam di negara ini sentiasa terpelihara.

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata, dasar baru tersebut menggantikan Dasar Keselamatan Dalam Negeri (DKDN) yang digubal KDN sebelum ini.

“Dasar ini merupakan kajian semula dasar terdahulu dengan mengambil kira pelbagai senario terkini merangkumi cabaran terbaru dan akan datang serta aspirasi yang digariskan oleh kerajaan,” katanya dalam ucapan pelancaran di KDN di sini.

Tambahnya, dasar tersebut menekankan usaha kerjasama yang melibatkan semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri yang berpaksikan semangat kesukarelawan, patriotisme dan tanggungjawab sosial dalam menangani pelbagai cabaran dalam sektor keelamatan.

Pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu dengan tema “Keselamatan dan Ketenteraman Awam: Tanggungjawab Bersama” telah dipilih sebagai agenda penting kerajaan bersifat nasional.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, dasar tersebut menggariskan enam teras dan 21 strategi yang akan menjadi panduan serta rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam mendepani pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman yang kian mencabar.