
PETALING JAYA: Guru tadika M Indira Gandhi memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap ketua polis negara (KPN) dan kerajaan yang didakwa gagal melaksanakan waran komital untuk menangkap bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, dan memulangkan anak perempuan mereka kepadanya.
Riduan membawa lari anak bongsu mereka, Prasana Diksa, pada 2009.
Dalam penyata tuntutannya, Indira mendakwa KPN melakukan tort nonfeasance apabila beliau “dengan sengaja dan atau cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan”.
Mahkamah pada 2016 mengarahkan KPN melaksanakan waran komital terhadap Riduan selepas dia disabit kesalahan menghina mahkamah dengan tidak memulangkan Prasana Diksa.
Ia berkata hakim Mahkamah Tinggi Ipoh akan memantau kemajuan pelaksanaan waran berkenaan.
“KPN sebagai seorang pemegang jawatan pejabat awam melakukan salah laku dengan tidak melaksanakan kuasanya bagi kebaikan dan atau faedah orang awam,” kata Indira dalam tuntutannya.
“Kelakuan KPN dan defendan-defendan (pihak polis, kerajaan dan kementerian dalam negeri) secara langsung atau tidak langsung menyebabkan Pathmanathan (nama Riduan sebelum memeluk Islam) melarikan diri daripada tangkapan.”
Beliau juga berkata KPN sekarang ini, Abdul Hamid Bador, pernah menyatakan dalam kenyataan media bahawa beliau tahu akan lokasi Riduan dan sedang berusaha mencapai suatu “happy ending” untuk beliau.
“Kenyataannya dengan jelasnya menunjukkan beliau tidak menangkap Pathmanathan dan mengembalikan Prasana kepada saya walaupun beliau mempunyai pengetahuan akan lokasi Pathmanathan,” katanya.
Indira menuntut pampasan dan deklarasi KPN melakukan tort nonfeasance.
Sementara itu, Jurucakap Pasukan Bertindak Indira Gandhi (INGAT), Arun Doraisamy, memberitahu pemberita saman Indira “bukan tentang duit”.
“Ia bukan sahaja mengenai Indira, tetapi juga kedaulatan undang-undang yang semua pihak mesti patuhi,” katanya.
Beliau juga menjelaskan penangguhan dalam pemfailan saman terhadap KPN, selepas pasukannya mengumumkan niat untuk berbuat begini pada Januari.
“Kami cuba sedaya upaya untuk bertemu dengan KPN dan mahu beliau menjelaskan kepada INGAT dan Indira mengenai pelannya melaksanakan perintah mahkamah dan seterusnya menjejaki Prasana Diksa.
“Kami sepatutnya bertemu dengan beliau pada 3 Sept tetapi beliau tidak dapat menghadirkan diri dan apabila kami cuba menjadualkan semula pertemuan pada 6 Sept, tiada maklum balas daripada pejabatnya.
“Jadi, kami mengambil pendekatan ini kerana beliau tidak hendak bertemu dengan kami.”
Peguam Indira, Rajesh Nagarajan, memberitahu pemberita mereka akan menghadirkan diri di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Bhupindaer Singh, pada 17 Dis.
“Ia pengurusan kes untuk pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mengemaskini maklumat kepada mahkamah, sejajar dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2016 berhubung kemajuan pelaksanaan waran komital,” katanya.