BUKIT MERTAJAM: Seorang pemilik tanah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan tanahnya dijadikan tempat longgokan sampah haram.
H’ng Boon Chai, 65, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Shamsol Azwa Martadza.
Mahkamah turut memerintahkan H’ng memindahkan kesemua sampah di 9 lot tanah berkeluasan kira-kira 20.33 hektar di Mukim 16, Bukit Teh di sini ke tempat pelupusan sampah dalam tempoh 14 hari berkuat kuasa hari ini serta mengemukakan bukti pemindahan sampah itu kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membenarkan tanahnya dijadikan tempat longgokan sampah haram yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk serta menimbulkan kacau ganggu dari segi kebersihan di sekitar tanah akibat daripada pengumpulan sampah haram tersebut.
Dia yang didakwa di bawah Seksyen 82 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, melakukan perbuatan tersebut pada 11.45 pagi 20 Mac lepas dan dihukum di bawah Seksyen 82(5) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa MPSP Siti Rahmah Md Yusoff, manakala H’ng diwakili peguam Franchis Goh.