Peringatan biasa, kata Salahuddin selepas terima surat tiru pakaian tradisi diraja Johor

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub ketika ditemui pemberita di Rumah Terbuka Amanah, hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengakui ada menerima surat daripada istana Johor mengenai cara pemakaian keluarga diraja negeri itu.

Beliau bagaimanapun berkata teguran itu tidak memberi kesan untuk beliau menghormati Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Saya terima surat itu dan saya telah baca dan saya rasa tidak ada masalah untuk saya bagi penghormatan dan kesetian kepada Tunku Ismail, tidak akan terkesan sama sekali.

“Jadi saya anggap satu peringatan biasa kepada saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Amanah, hari ini.

Pada 22 Jun lalu, istana Johor bertindak menghantar surat mengenai cara pemakaian keluarga diraja negeri itu kepada Salahuddin, selepas gambar beliau berbaju Melayu dan berseluar hitam tersebar di media sosial baru-baru ini.

“Jemaah Majlis Diraja berharap Datuk sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor,” demikian menurut surat ditandatangani Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor, Abdul Rahim Ramli.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Mahkota Johor melalui Instagramnya memuat naik gambar Salahuddin berbaju Melayu dan berseluar hitam ketika bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Menerusi catatan berbeza pada hari sama, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambarnya bersama adik-beradik dan Sultan Johor berbaju Melayu serta berseluar hitam.

Katanya, seluar hitam dipadankan baju Melayu Teluk Belanga ialah pakaian tradisi keluarga diraja Johor.

Pada 8 Jun lalu, media melaporkan seorang individu diminta menanggalkan sampingnya di depan istana Johor kerana pemakaian baju Melayu berserta samping dan seluar hitam ialah pakaian tradisi kerabat diraja negeri itu.