
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura hari ini mengesahkan kes import ke-5 jangkitan koronavirus novel di negara itu.
Dalam kenyataan terkini, kementerian berkenaan berkata kes terbaru itu melibatkan seorang wanita warga China berumur 56 tahun dari Wuhan, yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 18 Jan.
Beliau sedang dirawat di bilik isolasi di National Centre for Infectious Diseases (NCID) dan keadaannya stabil, menurut kementerian itu dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan, wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom semasa dalam penerbangan ke Singapura.
Beliau hanya menunjukkan simptom pada 24 Jan, dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Tan Tock Seng pada 26 Jan.
Kementerian berkata wanita itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai kes suspek dan terus diasingkan di NCID, dan keputusan ujian berikutnya mengesahkan jangkitan koronavirus Wuhan pada 27 Jan.
Kementerian itu berkata wanita berkenaan didapati tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan lain-lain kes jangkitan import yang disahkan sebelum ini.
Sebelum dimasukkan ke hospital, kementerian berkata wanita berkenaan tinggal bersama dengan keluarganya di Ceylon Road.
Sejak menunjukkan simptom pada 24 Jan, wanita itu dikatakan tinggal di rumahnya sahaja sehingga dia dibawa ke hospital 2 hari kemudian.
Kementerian berkata pihaknya memulakan penyiasatan epidemiologi dan sedang berusaha mengesan individu yang mempunyai kontak dengan wanita berkenaan.
Sehingga 12 tengah hari 27 Jan, 62 kes suspek disahkan negatif bagi koronavirus Wuhan, dan 4 disahkan positif, manakala kes ke-5 disahkan pada kira-kira 2.00 petang.
Keputusan ujian bagi 57 kes lagi masih belum diperoleh.
Pengesanan kontak bagi kes-kes yang disahkan sedang berlangsung dan sebaik sahaja dikenal pasti, kementerian akan memantau dangan rapi semua pihak yang mempunyai kontak dengan mereka.
Kementerian turut mengenal pasti 115 kontak yang mempunyai hubungan rapat dengan 4 kes yang disahkan sebelum ini.
Daripada 86 orang yang masih berada di Singapura, 75 dihubungi dan dikuarantin atau diasingkan, manakala usaha menghubungi 11 kontak lagi masih terus berjalan.
Sementara itu, Thailand merancang membawa pulang rakyatnya dari bandar Wuhan, China tempat penularan wabak 2019 koronavirus novel.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Thana Weskosith berkata terdapat 64 warga Thailand di Wuhan dan 18 lagi menetap di Wilayah Hubei.
Pada masa ini, beliau berkata Wuhan dan wilayah Hubei yang dilanda wabak itu, masih dikenakan perintah kuarantin.
“Tiada negara yang dibenarkan membawa keluar warganegaranya.
“Bagaimanapun, kami bersedia untuk membawa pulang warga Thailand, jika pihak berkuasa China memberi kelulusan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pusat Respons Pantas (RRC) di Kementerian Luar hari ini.
Thailand mempunyai 8 kes disahkan koronavirus, kes tertinggi di luar China dan mereka yang dijangkiti bukan rakyat Thailand.
Semalam, Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnverakul berkata tiada kes penularan tempatan setakat ini.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk untuk memeriksa pengembara yang memasuki dan meninggalkan negara itu untuk mencegah penularan koronavirus.