1 mayat ditemui di Semporna disyaki mangsa hilang ketika cuba ke Sabah

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali (kanan) menggunakan teropong ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat tujuh individu yang masih hilang di perairan Merabung, Tungku di Lahad Datu, hari ini. (Gambar Bernama)

LAHAD DATU: Satu mayat ditemui di Laut Mataking, Semporna, hari ini disyaki seorang daripada tujuh mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam pada Khamis lalu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Mohamad Pajeri Ali berkata, mayat yang belum diketahui jantina itu ditemui orang awam yang memaklumkan anggota bertugas Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Saya percaya mayat yang ditemui ini ada hubungan atau berkaitan tujuh mangsa hilang itu.

“Kita percaya mayat ini dihanyutkan mengikut arus laut, kalau kita lihat mangsa pertama yang ditemui berada laluan arus tidak menentu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih cuba mendapatkan status mayat berkenaan.

“Mayat sekarang berada di Pos PGA Mataking dan anggota PPM Semporna serta polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna berada di pos berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pajeri berkata, radius pencarian akan diperluaskan mengikut keperluan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hilang dijalankan untuk tempoh seminggu.”

Semalam, media melaporkan seorang lelaki selamat di perairan Merabung, manakala seorang wanita ditemui lemas di perairan Bangingod, Tungku, dekat sini. Tujuh individu yang masih hilang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki sembilan warga Fillipina itu dipercayai karam.

Merdeka Center