6 sekeluarga maut ditembak dalam perjalanan ke acara Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak maut dipercayai ditembak di perairan selatan Filipina, Selasa lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan berkata semua mereka dari Pulau Denawan, Semporna di Sabah.

Beliau berkata mereka yang bukan warganegara Malaysia ketika itu dalam perjalanan ke Siasi, selatan Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di sana.

“Sewaktu perjalanan ke Siasi pada waktu malam, bot yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot yang tidak dikenali.

“Berikutan itu, sekumpulan individu yang berada di dalam bot yang tidak dikenali itu menghampiri bot mereka lalu melepaskan tembakan,” katanya.

Omar berkata tembakan itu menyebabkan enam maut manakala dua lagi individu berjaya menyembunyikan diri dan terselamat.

Beliau berkata keluarga mangsa yang berasa bimbang dan curiga kerana mereka belum tiba di destinasi keluar mencari mereka dan menemui sebuah bot hanyut yang dalamnya terdapat enam mayat dan dua individu yang terselamat.

“Keluarga mereka membawa semua mereka ke Pulau Denawan untuk dikebumikan sebelum orang awam mengetahui kejadian itu dan melaporkannya kepada polis,” katanya sambil menambah kesemua mangsa telah dikebumikan pada Jumaat.

Omar berkata orang awam melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Semporna.

Merdeka Center