Covid-19: Itali catat angka kematian hampir 800 sehari

Itali melaporkan 6,557 kes baru Covid-19 pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 53,578 sejak wabak mula dikesan pada 21 Februari. (Gambar AP)

BRUSSELS/GENEVA: Ketika Itali mencatatkan korban Covid-19 paling ramai dalam sehari, iaitu 793 pada Sabtu, data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan pandemik itu meragut 11,184 nyawa di seluruh dunia pada Jumaat, lapor agensi berita Xinhua.

Di seluruh dunia, bilangan kes kumulatif meningkat kepada 266,073, dengan virus menular ke 182 negara dan wilayah.

Di luar China, jumlah kes disahkan bertambah kepada 184,657.

Itali, Sepanyol, Iran, Jerman, Amerika Syarikat dan Perancis antara negara paling teruk terjejas, kesemuanya merekodkan lebih 10,000 kes. Negara-negara ini mencatatkan lebih 130,000 jangkitan.

Itali melaporkan 6,557 kes baru pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 53,578 sejak wabak mula dikesan pada 21 Februari.

Kematian yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam itu tertinggi dicatatkan, menjadikan jumlah korban sebanyak 4,825.

Di Sepanyol, kes jangkitan menghampiri 25,000 pada Sabtu. Seramai 326 pesakit pula meninggal dunia dengan jumlah keseluruhan 1,328.

Di Perancis 112 kematian dilaporkan, manakala kes jangkitan sebanyak 1,847 meningkat kepada 14,459.

Seramai 6,172 orang dimasukkan ke hospital, termasuk 1,525 pesakit berada di dalam unit rawatan rapi, separuh daripadanya di bawah umur 60 tahun.

United Kingdom pula menyaksikan kes terkini sebanyak 5,018, dengan 233 kematian.

Sebanyak 30 lagi kematian dilaporkan di Belanda, 136 orang meninggal dunia, 637 disahkan dijangkiti, dengan keseluruhan kes 3,631.

Pada Sabtu juga, Cyprus, Finland, Lithuania, Bosnia dan Herzegovina masing-masing melaporkan kematian pertama akibat COVID-19.

Merdeka Center