Dr Mahathir mahu dunia bersiap untuk perubahan iklim, bukan perang

Ketika berucap di PBB semalam, Dr Mahathir berkata, Malaysia telah melancarkan kempen untuk menjadikan peperangan sebagai satu jenayah, selaras dengan objektif badan dunia itu. (Gambar Bernama)

NEW YORK: Dr Mahathir Mohamad berkata, komuniti antarabangsa perlu memberi perhatian terhadap fenomena perubahan iklim dan bencana alam yang banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia daripada membuat persediaan untuk berperang.

“Kita perlu membuat persediaan untuk memerangi perubahan iklim, untuk mengembalikan persekitaran normal yang dinikmati sejak ribuan tahun lalu,” kata perdana menteri.

Dalam pernyataannya pada perbahasan umum sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini pada Jumaat, Mahathir berkata, negara-negara juga harus membuat persediaan berdepan dengan gempa bumi besar, taufan dan ribut taufan, banjir dan kejadian tanah runtuh.

“Kita perlu belajar bagaimana untuk mengurangkan bencana alam ini. Kita perlu membina tempat perlindungan, membuat hujan buatan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari, berpindah ke tepi laut dan sebagainya,” katanya.

Beliau menegaskan pasukan pakar bencana yang serba lengkap harus sentiasa bersiap siaga untuk bergegas ke kawasan bencana dengan menekankan bahawa setiap bencana adalah bencana dunia.

“Sudah tentu semua bencana alam itu mungkin tidak berlaku, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada itu. Kita membazirkan wang mempersiapkan diri untuk berperang, mencipta lebih banyak senjata pemusnah apabila semua boleh dilenyapkan oleh bencana alam ketika planet ini melalui kitaran seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, manusia adalah mahkluk yang cerdik dan mampu bertahan dalam kitaran perubahan iklim seterusnya jika mereka mampu melahirkan penyelidik yang dapat menghasilkan sistem pertahanan terhadap bencana.

“Jika kita mengurangkan belanjawan kita untuk membunuh orang, kita akan mempunyai dana untuk penyelidikan dan persediaan,” katanya.

Dalam ucapan sama, Mahathir berkata, Malaysia telah melancarkan kempen untuk menjadikan peperangan sebagai satu jenayah, selaras dengan objektif PBB.

“Tidak masuk akal untuk menggantung pembunuh kerana membunuh seseorang tetapi memuliakan orang-orang yang bertanggungjawab atas kematian jutaan manusia.

“Peperangan moden adalah menyeluruh dari semua segi, bukan sahaja para pejuang terbunuh, tetapi juga orang yang tidak bersalah, kanak-kanak, yang sakit dan tidak berupaya juga terbunuh dan cedera.

“Seluruh negara hancur dan wang bertrilion hilang. Akhirnya, kedua-dua yang menang dan kalah menderita,” katanya.

Beliau berkata terdapat cara lain untuk menyelesaikan pertikaian seperti rundingan atau menyerahkan kepada timbangtara oleh pihak ketiga serta merujuk kepada perundangan Mahkamah Dunia, misalnya Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Malaysia bukan sahaja bercakap, tetapi kita menyelesaikan pertikaian dengan jiran-jiran kita melalui rundingan dan juga melalui Mahkamah Dunia. Ada yang kita menang dan ada yang kita kalah, tetapi tiada siapa yang terbunuh,” katanya.

Beliau menyifatkan sebagai tidak masuk akal cakap-cakap tidak boleh (ambil) “seinci pun daripada wilayah saya”.

“Kita tahu bahawa jika kita pergi berperang, inci itu akan menelan kos lebih daripada nilainya. Apabila seseorang itu ke mahkamah dia tidak selalunya mendapat apa yang kita dakwa sebagai hak kita, tetapi sama juga dengan berperang. Kita tidak selalu menang,” kata beliau.

Mahathir berkata, dalam pertandingan antara dua pihak, seseorang mesti kalah jika pihak yang satu lagi menang.

“Tetapi jika kita menggunakan cara damai, kita masih boleh kalah, tetapi kerugiannya kurang, tiada siapa yang akan mati atau tanah yang hancur,” katanya.

Merdeka Center