KDN akan kaji semula pembatalan pendaftaran myPPP

M Kayveas (kanan) menunjukkan logo terbaru PPP di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur pada 27 November 2015. Turut hadir Maglin Dennis D’cruz (tengah) yang merupakan naib presiden kanan PPP ketika itu dan Ahli Majlis Tertinggi, Dass R. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas parti komponen Barisan Nasional (BN), myPPP mungkin berpeluang diaktifkan semula kira-kira 10 bulan selepas pendaftarannya dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) susulan kemelut kepimpinan parti itu.

Sumber berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju dengan rayuan parti itu untuk mengkaji semula pembatalan pendaftarannya.

Difahamkan, JPPM yang terletak di bawah KDN sudah meminta puak bertelagah menyelesaikan pertikaian mereka melalui pihak ketiga yang bebas.

“Kedua-dua puak bersetuju melantik pihak ketiga dan mereka perlu memaklumkan JPPM secepat mungkin,” kata sumber itu kepada FMT.

MyPPP yang merupakan parti berbilang kaum dengan sebahagian besar ahlinya berbangsa India, dahulu dikenali sebagai Parti Progresif Penduduk, dibatalkan pendaftarannya susulan perebutan kuasa antara M Kayveas dan Maglin Dennis D’Cruz, di mana kedua-duanya mendakwa diri ialah presiden sah.

Maglin kemudiannya bertindak menyingkirkan Kayveas sebagai presiden tahun lalu melalui keputusan sebulat suara dalam Perhimpunan Agung myPPP ke-64 beberapa hari selepas Pilihan Raya umum ke-14.

Puak Maglin mendakwa Kayveas melanggar perlembagaan parti dengan membuat keputusan mengenai PRU14 tanpa berunding dengan Majlis Tertinggi parti.

Sumber memberitahu FMT, kedua-dua puak perlu mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan pertikaian mereka.

“Jika pemilihan semula dicadangkan sebagai penyelesaiannya, maka pihak ketiga akan ditugaskan untuk mengendalikan pengundian.

“Jika mereka tidak mematuhi syarat ditetapkan, pendaftaran myPPP akan kekal terbatal,” kata sumber sambil menambah kedua-dua puak diberi masa sehingga akhir tahun ini untuk tampil dengan satu penyelesaian.

Merdeka Center