Kenapa Latheefa Koya dipilih ketuai SPRM?

Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mencetuskan pelbagai polemik dan konflik di kalangan pemerhati politik negara serta pemimpin parti.

Latheefa diberi mandat sejak 1 Jun lalu untuk memegang portfolio ini, selepas Mohd Shukri Abdull memohon kontraknya dipendekkan lebih awal.

Saya tidak menafikan kelantangan Latheefa dalam kerjaya politik dan guamannya. Beliau merupakan peguam dan pengarah eksekutif Lawyers for Liberty yang sering menyuarakan isu hak asasi manusia serta kritikannya terhadap kronisme dan nepotisme dalam partinya, PKR.

Saya difahamkan pelantikan Latheefa sebagai pemudah cara untuk menyelesaikan isu dana RM2.6 bilion, 1MDB dan SRC International. Namun, adakah semata-mata dengan rasional di atas saja?

Saya berpandangan pelantikan ini mempunyai beberapa persoalan yang harus kita renungkan dan muhasabah sejenak.

Antaranya, pelantikan ini sah bercanggah janji ke-14 manifesto Pakatan Harapan berkaitan reformasi SPRM dan memperkukuh usaha membanteras rasuah dengan pelantikan ketua pesuruhjaya perlu diluluskan secara demokratik oleh Parlimen.

Tetapi, keputusan pelantikan Latheefa tidak melalui Parlimen. Ia jelas membungkam aspirasi PH yang sepatutnya peka dengan hal seperti ini.

Ia sepatutnya melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam yang ditubuhkan untuk memastikan pelantikan seumpama ini dibuat dengan ketelusan baik.

Pelantikan Latheefa juga tidak selaras janji ke-21 manifesto PH dalam memperkasa perkhidmatan awam. Kepercayaan dan penghormatan lebih tinggi patut diberikan kepada pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif mengenai selok-belok urus tadbir SPRM berbanding orang luar.

Walaupun pernah berkhidmat sebagai peguam, tetapi Latheefa tidak berpengalaman mengendalikan hal pendakwaan tadbir urus berkaitan agensi kerajaan.

Ia wajar dipersoalkan secara tuntas. Saya tiada masalah jawatan itu disandang wanita, tetapi kita mempunyai ramai individu lain yang boleh dilantik untuk terbabit bersama dalam pemerkasaan reformasi institusi.

Kita tidak memerlukan orang politik sebegini. Saya tetap merasakan Latheefa wajar berundur. Saya fikir Azmi Shahrom pasti senada dengan saya. Saya menunggu komentar beliau.

Luthfi Yusri ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Merdeka Center