Kes pukul pekerja: Polis nafi layanan istimewa kepada majikan

Ahli perniagaan, Chung Chee Yang, 43, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memukul dan mengugut pekerjanya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiada layanan istimewa diberikan kepada lelaki dituduh mengugut dan memukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa seperti didakwa pihak tertentu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret kelmarin tanpa digari kerana bukan dalam tahanan pihaknya, sebaliknya untuk menghadapi pertuduhan.

Katanya, suspek yang juga ahli perniagaan itu diberi jaminan polis sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

“Suspek diberi jaminan polis, maka kita tidak boleh menangkap semula dan menggari lelaki itu atas kesalahan sama hanya semata-mata untuk dibawa ke mahkamah.

“Justeru tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa kerana undang-undang menetapkan tiada siapa boleh ditangkap atas kesalahan sama seperti termaktub mengikut Artikel 7(2) Perlembagaan,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Semalam, polis mengesan satu artikel memaparkan gambar lelaki yang juga majikan kepada dua pengawal peribadi hadir ke mahkamah tanpa digari dan diiringi pegawai polis.

Kelmarin, suspek yang sebelum ini didakwa memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya dengan menggunakan pistol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret.

Chung Chee Yang, 43, hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru dan seluar putih, didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua mangsa.

Khamis lalu, majikan kepada dua pengawal peribadi itu menghadapi lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang.

Antara pertuduhan dikenakan terhadap Chee Yang ialah melukakan perasaan keagamaan terhadap dua pengawal peribadi iaitu Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44.

Mengenai suspek dibawa ke mahkamah tanpa memakai baju lokap, Zainal berkata, ia mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118 iaitu banduan yang dibawa ke mahkamah perlu memakai pakaian ketika ditangkap, melainkan pakaian itu dijadikan barang kes.

“Justeru, polis menggesa orang ramai tidak memanipulasi isu ini sehingga menyebabkan salah faham, kekeliruan, dan menggambarkan keadaan tidak tepat lalu menjejaskan reputasi serta imej polis di mata masyarakat,” katanya.

Merdeka Center