Najib mahu surat tunjuk sebab Kit Siang isu artikel perbicaraan SRC

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak menuntut pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan 2 lagi pihak mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dianggap menghina mahkamah susulan penerbitan satu artikel berkaitan dana RM42 bilion SRC International Sdn Bhd.

Tuntutan selepas notis usul dan afidavit sokongan Najib, yang difailkan pada 11 November lepas di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semasa permohonan ex-parte, muncul untuk pengurusan kes hari ini di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, menuntut Lim, laman berita Malay Mail, dan seorang pemberitanya, menunjukkan sebab mengapa mereka tidak boleh dianggap menghina mahkamah berhubung penerbitan artikel “Kit Siang: High Court decision on Najib and Tanjung Piai by election outcome will indicate where Malaysia headed towards” yang dimuat naik pada 9 Nov.

Nazlan pada 11 November lepas mengarahkan Najib membela diri terhadap 7 pertuduhan dalam perbicaraan SRC, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Najib, 66, berhadapan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana SRC berjumlah RM42 bilion.

Najib dalam afidavit itu mendakwa artikel itu dibuat bagi mengenakan tekanan ke atas Mahkamah Tinggi berhubung keputusan mahkamah berkenaan dan kes SRC itu.

Beliau juga mendakwa siaran akhbar Lim dan artikel berkenaan ditampilkan bagi mengancam dan mempunyai kecenderungan bagi melemahkan dan mengenepikan kuasa mahkamah, di samping campur tangan dan menghalang pelaksanaan proses keadilan.

Kelihatan di Mahkamah hari ini ialah peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah; peguam Lim, Ramkarpal Singh; dan peguam Malay Mail serta pemberitanya S Ambiga.

Merdeka Center