Pelajaran mengenai mengasihi orang lain tidak halang ekstremisme, kata ahli akademik

Sekolah boleh mengadakan lawatan ke tempat ibadat dan enklaf etnik bagi meningkatkan toleransi agama dan etnik dalam kalangan pelajar dan guru.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menolak cadangan Menteri Pendidikan Maszlee Malik supaya sifat kasih sayang dan empati diajar disekolah bagi menghadapi ekstremisme agama, dengan berkata nilai tersebut mesti diamalkan dan dijadikan kebiasaan.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, pelajar dan guru perlu bergaul melampaui garis kaum dan agama.

Lebih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan pendaftaran pelajar dan pengambilan guru menggambarkan demografi kaum dan agama dalam masyarakat umum.

“Wujudkan ruang yang membolehkan pelajar duduk bersama tanpa mengelompokkan diri mereka,” katanya.

Beliau seterusnya mencadangkan sekolah mengadakan lawatan ke tempat ibadat dan enklaf etnik bagi meningkatkan toleransi agama dan etnik.

Azmil Tayeb.

Sekolah juga boleh menjemput pemimpin daripada pelbagai komuniti untuk menyampaikan syarahan, mengadakan program pertukaran dengan sekolah vernakular dan agama, katanya.

Kementerian Pendidikan juga boleh menyemak semula subjek pendidikan Islam bagi menjadikannya lebih inklusif terhadap agama lain dan pelbagai ajaran dalam Islam.

Azmil berkata, latihan dan pengiktirafan guru juga boleh memasukkan perubahan itu kerana mereka merupakan kumpulan yang akan menyampaikan idea tersebut dalam kelas.

Maszlee baru-baru ini berkata, penyebaran ideologi ekstremis hanya boleh dihadapi melalui pendidikan yang didasarkan pada kasih sayang dan sikap empati dalam jangka panjang.

“Apabila seseorang tidak ada sikap kasih sayang dan kegembiraan, maka mereka akan lebih mudah terpengaruh dengan ideologi ekstremisme. Mereka tidak sukakan diri mereka sendiri dan beranggapan jika meraka mati pun tidak apa. Yang penting ideologi mereka tercapai,” katanya seperti dilaporkan.

Terbaru Bukit Aman memaklumkan ia berjaya membongkar rancangan untuk menyerang rumah ibadat bukan Islam dan beberapa individu terkenal.

Seorang rakyat Malaysia, 2 warga Rohingya dan seorang Indonesia ditahan dalam serbuan di Terengganu dan Lembah Klang antara 5 dan 7 Mei lepas.

Merdeka Center