Pemain Pahang Azam dijangka bantu Malaysia bagi aksi kelayakan Piala Dunia

Nor Azam Abdul Azih tidak beraksi ketika Malaysia menang besar 6-0 ke atas Sri Lanka pada 5 Okt lalu dan Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada 10 Okt lalu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan awal pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih dijangka kembali memperkuatkan jentera tengah skuad kebangsaan untuk menghadapi dua aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan depan.

Pengendali berusia 51 tahun itu bagaimanapun enggan membuat keputusan terburu-buru dan akan menunggu sama ada pemain berusia 24 tahun itu akan diturunkan pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 26 Okt ini sebelum membuat keputusan muktamad.

Azam yang mengalami kecederaan buku lali kanan, dilaporkan mengambil ubat penahan sakit sewaktu turun beraksi berdepan Kedah pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu lepas yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 3-3.

“Kita amat memerlukan khidmat Azam untuk dua aksi penting menentang Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 Nov ini, namun saya akan membuat keputusan selepas aksi kedua Piala Malaysia di Kuantan nanti,” katanya kepada Bernama hari ini.

Untuk rekod, Azam tidak beraksi ketika Malaysia menang besar 6-0 ke atas Sri Lanka pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Bukit Jalil pada 5 Okt lalu, selain tidak dibawa ke Hanoi semasa Malaysia tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan di Stadium Nasional My Dinh pada 10 Okt lalu.

Dalam pada itu, Tan mengakui Harimau Malaya perlu kembali bangkit memburu kemenangan menentang Thailand dan Indonesia dalam misi menghidupkan semula peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya menempah tiket secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China.

Harimau Malaya sebelum itu akan diuji pasukan ranking ke-115 dunia, Tajikistan pada aksi pemanas badan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Nov ini.

Malaysia kini di tangga keempat daripada lima pasukan dengan kutipan tiga mata selepas tiga perlawanan.

Merdeka Center