Royalti minyak: DUN Kelantan lulus usul dukacita kenyataan Guan Eng

Kerajaan Kelantan mendakwa negeri itu hanya menerima wang ehsan daripada Kerajaan Persekutuan dan bukannya bayaran royalti. (Gambar Reuters)

KOTA BHARU: DUN Kelantan hari ini merakamkan rasa dukacita atas kenyataan mengelirukan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai pembayaran royalti kepada negeri itu.

Usul berkenaan dikemukakan Hassan Mahmood (PAS-Tawang) di bawah Perkara 30(1) Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan.

Speaker DUN Kelantan, Abdullah Ya’kub yang meneliti cadangan itu kemudian meluluskan usul berkenaan untuk dibahas kerana memenuhi tiga syarat iaitu melibatkan perkara tertentu dan mustahak, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang kemudian bangun untuk membahaskan usul berkenaan turut melahirkan rasa dukacita yang teramat di atas ketidakfahaman menteri kewangan yang gagal memahami maksud antara wang ehsan dan bayaran royalti.

“(Beliau) bertukar antara buah dokong dan buah rambai. Apa yang disebut wang yang diterima oleh kerajaan negeri adalah wang ehsan. Kerajaan dahulu (Barisan Nasional) dah bagi.

“Tapi kerana nak lepaskan diri daripada soalan Ketua Pembangkang Parlimen (Ismail Sabri Yaakob) beliau (Lim) jawab di luar Parlimen dan dia boleh berbohong,” katanya pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Mengulas lanjut, Alwi berkata rakyat Kelantan berhak menerima bayaran royalti mengikut perjanjian yang ditandatangani sebelum ini mengikut lunas undang-undang.

“Rakyat Kelantan bukan pengemis, rakyat Kelantan rakyat merdeka. Maka saya menyokong usul ini dan mendesak royalti mesti dibayar dengan segera,” katanya.

Abdullah kemudian membuka peluang kepada Adun yang hadir mengundi usul itu dengan majoriti Adun mengundi bersetuju menerusi pungutan suara.

Semalam, Lim dilaporkan berkata bayaran royalti minyak telah dibuat pada bulan lepas atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob hari ini dilaporkan berkata Kelantan hanya menerima wang ehsan pada 17 Sept lepas daripada Kerajaan Persekutuan dan bukannya bayaran royalti.

Merdeka Center