Seleweng dana DUN: Wakil rakyat BN ditahan SPRM

Adun Sg Rambai, Hasan Abd Rahman. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Adun Barisan Nasional (BN) Melaka berhubung penyelewengan peruntukan yang dikaitkan dengan Program Strategik Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

SPRM berkata berkata Hasan Abd Rahman selaku pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) ditahan bersama keraninya Khuzaiman Abdullah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, kedua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk pertuduhan esok.

“Kes adalah berkaitan penyelewengan peruntukan bagi Inisiatif Strategic Linkage di bawah NBOS 2016 untuk negeri Melaka yang disalurkan pada Japerun,” kata Latheefa.

Julai tahun lalu, dilaporkan sejumlah RM10,412 wang milik Japerun Durian Tunggal, dilaporkan hilang selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata pihaknya menerima 3 penyata melalui bank CIMB yang menunjukkan berlaku pengeluaran wang pada 15 Mei tahun lalu.

Beliau berkata, akaun pertama adalah Tabung Kebajikan Japerun Durian Tunggal dengan baki akhir terdahulu RM318.16 dan baki terkini, RM10.60.

“Akaun kedua pula adalah Tabung Kebajikan Khas Japerun Durian Tunggal dengan baki terdahulu RM10,104.15. Kemudian, baki terkini adalah RM10.60.

“Akaun 1 dan 2 ditutup sejurus pengeluaran dilakukan pada 15 Mei lalu. Kita percaya penama akaun ini mengeluarkan wang berkenaan selepas berlaku peralihan kuasa,” katanya.

 

Merdeka Center