Taliban potong jari pengundi, rakyat Afghan tak patah semangat

Saifullah Safi menunjukkan kesan jari dipotong Taliban selepas dia mengundi dalam pilihan raya presiden Afghanistan lima tahun lalu. Afghanistan mengadakan pilihan raya 2019 semalam. (Gambar Reuters)

KABUL: Taliban memotong jari telunjuk kanan Safiullah Safi selepas dia mengundi dalam pilihan raya presiden pada 2014. Kejadian itu sama sekali tidak mematahkan semangat ahli perniagaan itu daripada mengundi sekali lagi semalam.

Semangat Saifullah dalam pilihan raya presiden Afghanistan kali ini mencetuskan kekaguman selepas gambar dia berusia 38 tahun itu dipamerkan menerusi Twitter, menunjukkan telunjuk kanannya yang dipotong Taoiban manakala jari kiri dengan dakwat kekal, menunjukkan dia telah mengundi.

Di sebalik ancaman serangan militan dan kelewatan di pusat mengundi, rakyat Afghanistan membuang undi dalam ujian utama akan keupayaan pemerintah didukung Barat untuk mempertahankan sistem demokrasi.

Taliban digulingkan pasukan diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2001. Tetapi pemberontakan Islam kini paling kuat sejak kekalahan Taliban, mengganggu pilihan raya demokrasi yang baru dan membawa hukuman yang mengerikan, sering kali hukuman mati terhadap mereka yang mengundi.

Semasa pilihan raya presiden 2014, pejuang Taliban telah memotong jari sekurang-kurangnya enam pengundi.

“Saya tahu ia pengalaman menyakitkan, tetapi ia hanya jari,” kata Saifullah melalui telefon. “Apabila datang masa depan anak dan negara saya, saya tidak akan duduk walaupun mereka memotong seluruh tangan saya.”

Saifullah berkata selepas mengundi pada 2014 dan sehari kemudian bergerak dari Kabul ke rumahnya di Khost, jarinya yang ditanda dengan dakwat kekal dipotong oleh Taliban.

“Taliban membawa saya keluar dari kereta dan membawa saya mahkamah yang ditubuhkan oleh mereka,” katanya.

“Mereka memotong jari saya, bertanya mengapa saya mengambil bahagian dalam pilihan raya walaupun ada amaran daripada mereka. Keluarga saya memberitahu saya supaya tidak mengundi kali ini, tetapi saya mengambil bahagian untuk memberikan undi kami.”

Gambaran tentang semangat dia disambut hangat oleh warga Afganistan di media sosial, di mana kebanyakannya takut akan kembali ke era Taliban dan berakhirnya demokrasi.

“Dia mengundi menyokong demokrasi dan mengatakan tidak kepada sistem Taliban,” kata Kabuli, seorang pengguna Twitter.

Di wilayah-wilayah Afghanistan dikuasai Taliban, lebih banyak berbanding sejak 2001, proses pengundian berjalan dalam ketakutan dan kadar keluar mengundi sangat rendah.
Pemberontak menutup banyak pusat pengundian yang berada di bawah kuasa mereka.

Merdeka Center