Sibuk bincang gaji minimum, gaji menteri RM30,000-RM60,000 jangan lupa, sindir Zahid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya menyokong sekiranya benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksimum yang boleh memandangkan rakyat sedia terbeban dengan kos sara hidup ketika ini.

PETALING JAYA: Dalam kesibukan perbincangan mengenai isu perintah gaji minimum dipertingkatkan, kita lupa mengenai gaji yang diterima barisan menteri dalam kerajaan hari ini, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, rekod memperlihatkan gaji timbalan menteri dan menteri adalah sekitar RM30,000 hingga RM60,000 sebulan.

“Sewaktu Ordinan Darurat dilaksanakan adakalanya kita tidak dapat melihat menteri dan timbalan menteri berkenaan. Al maklumlah Parlimen tidak bersidang. Mereka semua sibuk turun padang berjumpa rakyat dan bukan bercuti,” katanya di Facebook.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas amanat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, ketika Hari Pekerja 1 Mei lalu yang menyatakan kerajaan sedang melaksanakan kajian semula perintah gaji minimum 2020, bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio ekonomi semasa.

Muhyiddin juga berkata, kerajaan dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti “paternity” selama tiga hari.

Terdahulu, pewartaan terhadap perintah gaji minimum baharu yang dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, sudah berkuat kuasa pada 1 Feb tahun lalu.

Mengikut warta kerajaan itu, kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan atau RM5.77 sejam di wilayah bandar utama dan RM1,100 sebulan atau RM5.29 sejam selain wilayah bandar utama adalah berdasarkan tempat kerja yang ditakrifkan mengikut Seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) iaitu di mana-mana tempat kerja dijalankan untuk majikan oleh pekerja.

Dalam pada itu, Zahid berkata, pihaknya menyokong sekiranya benar kerajaan dapat meningkatkan gaji minimum semaksimum yang boleh memandangkan rakyat sedia terbeban dengan kos sara hidup ketika ini.

“Namun, perlu diingat peningkatan gaji minimum bakal mengundang lebih ramai pekerja dari luar yang mahu mendapatkan tawaran gaji lumayan, dan andai itu dilaksanakan saya berharap kerajaan mengutamakan rakyat tempatan.

“Menetapkan gaji minimum pada kadar semaksimum mungkin bukan mudah kerana terdapat banyak halangan daripada pihak swasta, majikan swasta terutama pengilang enggan memberikan gaji minimum kerana mereka boleh mendapatkan pekerja asing dengan mudah dan murah,” kata Zahid.

Merdeka Center